16 stesen catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi
16:10 Oct 23, 2026  |  By SabahKini2
16 stesen catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi

Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan Nilai, Negeri Sembilan, merekodkan bacaan kedua tertinggi pada 159.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 1 tengah hari ini, dengan Seremban mencatatkan bacaan tertinggi pada 160.

Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan Nilai, Negeri Sembilan, merekodkan bacaan kedua tertinggi pada 159.

Di Selangor, lima stesen mencatatkan bacaan tidak sihat, iaitu Klang dan Johan Setia masing-masing 158, Petaling Jaya (154), Shah Alam (152) dan Banting (152).

Dua stesen di Kuala Lumpur turut merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Batu Muda pada 156 dan Cheras pada 111.

Di Melaka, Bukit Rambai mencatatkan bacaan 152, diikuti Bandaraya Melaka (126) dan Alor Gajah (118).

Sementara itu, Batu Pahat dan Tangkak di Johor masing-masing merekodkan bacaan 152 dan 151, manakala Sri Aman di Sarawak mencatatkan 151.

Putrajaya turut merekodkan IPU tidak sihat pada 137.

Sebaliknya, Kimanis di Sabah dan Kemaman di Terengganu mencatatkan bacaan pada tahap baik, masing-masing 46 dan 45.

Sebanyak 50 stesen lain merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.

Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga 3 petang ini.

Amaran itu melibatkan Perlis, Pulau Pinang serta beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Di Kedah, kawasan terlibat ialah Kulim, Bandar Baharu, Langkawi, Yan, Kuala Muda, Sik dan Baling, manakala di Perak, amaran meliputi Hulu Perak, Kerian, Selama, Bagan Datuk, Hilir Perak, Larut Matang dan Kuala Kangsar.

Di Kelantan, amaran melibatkan Bachok, Pasir Puteh dan Jeli, manakala di Terengganu, ia meliputi Kemaman, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Kawasan terlibat di Pahang ialah Temerloh, Kuantan, Rompin, Pekan dan Raub, manakala di Selangor, amaran dikeluarkan bagi Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Di Sarawak, amaran melibatkan beberapa kawasan termasuk Sarikei, Pakan, Maradong, Miri, Marudi, Beluru, Subis, Mukah, Limbang, Kabong dan Bintulu.

Di Sabah, kawasan terlibat termasuk Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Ranau, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Keningau, Tambunan, Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Kunak. Amaran turut melibatkan Labuan.

Comment