Hajiji mahu anak muda guna teknologi perkasa bahasa Melayu
17:10 Oct 27, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu anak muda guna teknologi perkasa bahasa Melayu

Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, para pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mahu golongan muda, pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era digital, termasuk memperluas penggunaannya di tempat awam dan memperkukuh pematuhan dalam urusan rasmi.

“Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, para pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, generasi muda perlu menguasai pelbagai bahasa untuk meningkatkan daya saing, namun tidak seharusnya mengabaikan bahasa kebangsaan, khususnya ketika berkomunikasi menerusi media sosial.

Katanya, kebebasan bersuara di pelbagai platform digital juga perlu disertai penggunaan bahasa yang tepat dan santun.

“Dalam ruang kebebasan bersuara dalam pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan bahasa yang baik,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pendidikan bagi memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan menerusi pelbagai program, penyelidikan dan penerbitan.

Katanya, usaha itu turut merangkumi pemerkasaan tulisan Jawi, seni berpantun, penyelidikan bahasa dan sastera etnik serta pembangunan industri buku yang mengetengahkan karya penulis Sabah.

Beliau turut menghargai usaha DBP memperluas penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu, mengembangkan bakat penulis muda serta mendokumentasikan bahasa etnik tempatan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Hajiji berkata, usaha mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera juga perlu dipergiat menerusi penganjuran lebih banyak kegiatan bahasa dan kesusasteraan.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu Sabah menjadi contoh dalam pemupukan budaya ilmu, pengembangan kesusasteraan dan penggunaan bahasa kebangsaan.

Dalam pada itu, beliau berkata kepelbagaian etnik, budaya dan dialek di Sabah tidak menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

Katanya, bahasa kebangsaan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negeri itu, selain membolehkan mereka berkomunikasi dan bekerjasama dalam suasana harmoni.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermaksud meminggirkan bahasa ibunda dan bahasa etnik yang menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat Sabah.

Mengulas tema BBK 2026, Bahasa Kita, Wajah Kita, Hajiji berkata bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya mencerminkan identiti, jati diri dan keperibadian sesuatu bangsa.

Beliau berkata, usaha memperkukuh bahasa kebangsaan juga selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan pembentukan masyarakat beridentiti serta mempunyai jati diri kukuh.

Katanya, penggunaan bahasa yang baik, beradab dan santun mampu memperkukuh perpaduan serta membentuk masyarakat berilmu dan bertamadun.

Comment