Baiki lampu sekolah, kontraktor maut terkena renjatan elektrik
17:10 Oct 28, 2026  |  By SabahKini2
Baiki lampu sekolah, kontraktor maut terkena renjatan elektrik

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik sebelum terjatuh.

KUDAT: Seorang kontraktor warga asing maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di pagar sebuah sekolah di Batu 1 di sini pada pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik sebelum terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.31 pagi.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa berada di kawasan pintu gerbang sekolah berkenaan.

“Pihak bomba kemudian menghubungi Sabah Electricity bagi mendapatkan bantuan memutuskan bekalan elektrik untuk memastikan keselamatan anggota sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Darikson berkata, pihak Sabah Electricity tiba di lokasi pada jam 9.12 pagi sebelum memutuskan bekalan elektrik.

“Mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Comment