Hajiji, Fahmi perkukuh agenda pendigitalan Sabah
18:11 Nov 03, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji, Fahmi perkukuh agenda pendigitalan Sabah

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2).

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji diberi taklimat mengenai perkembangan terkini projek berkenaan yang merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam memperluas infrastruktur serta meningkatkan capaian komunikasi digital, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Pelaksanaan JENDELA 2 dijangka memberi manfaat kepada penduduk yang masih berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan internet berkualiti, terutama disebabkan faktor geografi dan taburan penduduk.

Fahmi sebelum ini memaklumkan JENDELA 2 merangkumi 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak diberi keutamaan dalam Fasa Kedua.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, serta Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI), Datuk Hassan Mahali; serta Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan.

Comment