KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah merekodkan rampasan dadah bernilai RM287.14 juta serta 14,238 tangkapan menerusi operasi membanteras kegiatan jenayah sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kejayaan itu dicapai menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan, termasuk kes berprofil tinggi membabitkan rampasan dadah seberat 10 kilogram (kg) ke atas.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah merampas 4,051.18kg syabu, 451.8kg serbuk ekstasi, 70.9kg pil ekstasi, 51.68kg ketamin dan 44.3kg bunga ganja dalam tempoh berkenaan.
Katanya, seramai 33 suspek terdiri daripada 26 lelaki dan tujuh wanita ditahan menerusi kes berprofil tinggi itu.
"Daripada keseluruhan 14,238 tangkapan yang direkodkan JSJN, seramai 9,894 adalah warga tempatan, manakala 4,344 lagi warga asing.
"Prestasi pertuduhan turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila 4,431 daripada 4,870 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah, bersamaan 90.99 peratus, sekali gus melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan iaitu 80 peratus.
"Prestasi penyelesaian kes pula mencapai 90.93 peratus apabila 12,171 daripada 13,385 kertas siasatan berjaya diselesaikan, mengatasi KPI 65 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi November 2026 yang turut menyaksikan peluncuran projek pembinaan Dewan Pengaman Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Jauteh berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah turut mencatatkan pencapaian penguatkuasaan menerusi ribuan operasi yang dilaksanakan bagi membanteras pelbagai kegiatan jenayah.
Menurutnya, Cawangan D4 JSJ IPK Sabah melaksanakan 2,225 operasi dengan 2,214 tangkapan, manakala Cawangan D7 merekodkan 2,064 operasi dengan 2,857 tangkapan.
Cawangan D9 pula melaksanakan 471 operasi yang membawa kepada 504 tangkapan.
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah menerima 12,962 laporan polis sepanjang Januari hingga 31 Oktober lalu, dengan 3,282 kertas siasatan dibuka.
"Sebanyak 1,452 serbuan dilaksanakan dengan 2,034 tangkapan direkodkan, manakala nilai kerugian akibat jenayah komersil yang dilaporkan mencecah RM133.35 juta," katanya.
Bagi aspek keselamatan jalan raya, Jauteh berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah membuka 16,651 kertas siasatan trafik dan menyelesaikan 16,043 kes dalam tempoh sama.
Beliau berkata, sebanyak 453 operasi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol dilaksanakan dengan 2,878 saman dikeluarkan.
Selain itu, 411 operasi membabitkan kenderaan perdagangan dijalankan sehingga membawa kepada pemeriksaan 18,983 kenderaan dan pengeluaran 1,493 saman.
Jauteh berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, memutuskan rangkaian jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

