Media berperanan besar bantu PDRM kekalkan keamanan
18:11 Nov 06, 2026  |  By SabahKini2
Media berperanan besar bantu PDRM kekalkan keamanan

Menurutnya, tanpa sokongan media, pelbagai tindakan dan program yang dilaksanakan PDRM sukar disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat.

KOTA KINABALU: Peranan media sebagai rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat penting dalam membantu memperkukuh keselamatan negara menerusi penyampaian maklumat tepat, pantas dan berkesan kepada masyarakat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kerjasama erat antara PDRM dan media bukan sahaja membantu menyebarluaskan maklumat, malah memastikan masyarakat memahami isu keselamatan, tindakan penguatkuasaan undang-undang serta usaha pencegahan jenayah.

Menurutnya, tanpa sokongan media, pelbagai tindakan dan program yang dilaksanakan PDRM sukar disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat.

Beliau berkata, media juga memainkan peranan besar dalam membentuk persefahaman, memelihara keharmonian serta mengelakkan salah faham yang boleh mencetuskan perselisihan dalam kalangan masyarakat.

“Sebelum perkembangan media secara meluas, masyarakat banyak bergantung kepada penyampaian maklumat secara tradisional yang mengambil masa lama serta berisiko menimbulkan pelbagai persepsi.

“Dengan kewujudan media dan penyiaran yang semakin meluas, masyarakat kini boleh mendapatkan berita yang benar, cepat dan sama.

“Perkembangan ini secara tidak langsung membantu mendidik masyarakat serta membentuk persefahaman sehingga kita dapat melihat masyarakat hari ini semakin bersatu tanpa dibatasi perbezaan kaum dan kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pesuruhjaya Polis Sabah Bersama Media 2026 yang diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pengamal media sepanjang menjalin kerjasama dengan PDRM Sabah.

Dalam pada itu, Jauteh menegaskan bahawa ketepatan maklumat merupakan antara aspek utama bagi memastikan usaha PDRM menjaga keselamatan negara dan menguatkuasakan undang-undang mencapai matlamat.

Katanya, kecanggihan peralatan serta kelengkapan logistik sahaja tidak mencukupi sekiranya maklumat tidak disampaikan dengan tepat kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media supaya sentiasa mengutamakan ketepatan fakta dan tidak menyampaikan maklumat berdasarkan persepsi atau petikan yang boleh mengubah maksud sebenar sesuatu kenyataan.

“Laporan tidak lengkap atau petikan ucapan di luar konteks boleh menimbulkan salah faham sehingga menjejaskan reputasi individu serta mencetuskan reaksi masyarakat,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman apabila sebahagian ucapannya pernah dipetik secara tidak lengkap menerusi satu kandungan di TikTok sehingga menimbulkan tafsiran berbeza dan mendorong orang awam membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Jauteh berkata, rakaman penuh serta pengesahan daripada wartawan yang berada di lokasi ketika kejadian berjaya menjelaskan keadaan sebenar.

“Wartawan yang membuat liputan ketika itu mempunyai rakaman penuh dan mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Perkara itu menunjukkan betapa pentingnya kewartawanan yang berpegang kepada fakta dan integriti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa mengira keadaan cuaca demi mendapatkan maklumat serta menyampaikan berita kepada masyarakat.

Jauteh yang sudah mengenali dan bekerjasama dengan pengamal media sejak 1995 berkata, hubungan baik antara PDRM dan media perlu terus diperkukuh demi kepentingan masyarakat serta negara.

Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau kesilapan daripada pihak PDRM sepanjang mengendalikan urusan bersama pengamal media.

“Kerjasama media banyak membantu Polis Kontinjen Sabah menyebarluaskan maklumat, memberikan pendidikan kepada masyarakat serta memaklumkan pelbagai usaha dan program yang dilaksanakan pasukan keselamatan itu.

“Saya menyifatkan sumbangan media sepanjang tempoh perkhidmatan di Sabah ini sebagai sesuatu yang amat bermakna dan membanggakan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan selepas ini, Jauteh berkata, beliau akan kembali menjalani kehidupan sebagai orang awam, namun tetap menghargai hubungan serta sokongan rakan media yang banyak membantu sepanjang menjalankan tugas.

Comment