RANAU: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 12, Jalan Lohan-Bongkud, berhampiran sebuah pasar raya di Lohan, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian kira-kira jam 6.37 petang itu mengorbankan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pengesahan kematian dilakukan pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lohan.
Seorang lagi penunggang motosikal berusia 30 tahun pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.
Mengulas lanjut, Mursalin berkata, siasatan awal mendapati penunggang berusia 30 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Lohan menuju ke Pekan Ranau.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, dia dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan yang bergerak perlahan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua motosikal mengalami kerosakan pada bahagian hadapan akibat perlanggaran berkenaan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Ranau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

