JIM Sabah tahan 32 warga asing dalam Ops Wilayah
18:11 Nov 10, 2026  |  By SabahKini2
JIM Sabah tahan 32 warga asing dalam Ops Wilayah

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 324 individu diperiksa dalam operasi berkenaan yang membabitkan kekuatan 102 pegawai imigresen.

TAWAU: Seramai 32 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di Tawau dan Semporna selama dua hari bermula Ahad lalu.

Operasi dikenali sebagai Ops Wilayah itu dilaksanakan menerusi lima operasi bersepadu iaitu Ops Jaja, Ops Belanja, Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Mahir.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 324 individu diperiksa dalam operasi berkenaan yang membabitkan kekuatan 102 pegawai imigresen.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 60 pegawai ditugaskan di Tawau manakala 42 lagi di Semporna.

Katanya, di Tawau, sebanyak enam premis diperiksa membabitkan 218 individu terdiri daripada 159 warga tempatan dan 59 warga asing.

"Hasil pemeriksaan itu membawa kepada penahanan 24 warga asing dari negara jiran.

"Di Semporna pula, seramai 106 individu diperiksa dengan lapan warga asing ditahan menerusi Ops Mahir," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua 32 warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di lokasi strategik seluruh negeri bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin (PTI).

Katanya, operasi secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan semua warga asing mematuhi undang-undang imigresen negara.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang.

"Masyarakat turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PTI menerusi saluran rasmi JIM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO)," katanya.

Comment