KOTA KINABALU: Persatuan Bumiputera Iranun Sabah (PISBA) merancang menganjurkan Festival Kalilang Iranun selama lima hari di Kampung Pantai Emas, Kota Belud selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2027.
Cadangan penganjuran festival itu antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi PISBA yang diketuai Presidennya, Datuk Sharif Perais Sharif Baba, kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini.
Setiausaha Agung PISBA, Datuk Rosmin Kassan berkata, Hajiji menyambut baik kunjungan berkenaan selain memberikan maklum balas positif terhadap beberapa perancangan dan aktiviti persatuan itu bagi tahun depan.
Menurutnya, Ketua Menteri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan penganjuran festival berkenaan yang dilihat mampu menjadi platform untuk memperkenalkan warisan, seni budaya, adat resam serta identiti masyarakat Iranun kepada masyarakat umum.
"Festival Kalilang Iranun ini mampu menjadi wadah untuk memperkenalkan keunikan warisan masyarakat Iranun kepada generasi muda serta masyarakat luar.
"Kami berharap penganjurannya nanti dapat menghimpunkan masyarakat, penggiat seni dan budaya serta pelbagai pihak dalam usaha memelihara dan memartabatkan khazanah warisan bangsa," katanya.
Rosmin berkata, PISBA amat menghargai sambutan baik Hajiji terhadap kunjungan itu, termasuk keterbukaan beliau mendengar cadangan serta perancangan aktiviti persatuan berkenaan.
Beliau berkata, festival itu dijangka menampilkan pelbagai pengisian menarik berkaitan kebudayaan Iranun sekali gus memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan menghayati warisan nenek moyang mereka.
Menurutnya, penganjuran festival berkenaan bukan sahaja dapat memperkukuh usaha memelihara identiti masyarakat Iranun, malah berpotensi menjadi produk pelancongan baharu di daerah Kota Belud.
PISBA berharap Festival Kalilang Iranun 2027 dapat direalisasikan sebagai acara kebudayaan yang mampu menarik kehadiran pengunjung serta merancakkan ekonomi komuniti setempat, khususnya di Kampung Pantai Emas dan kawasan sekitarnya.
Kunjungan hormat itu turut mencerminkan komitmen PISBA untuk terus menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh serta memartabatkan seni dan budaya masyarakat Iranun di Sabah.

