Mangsa banjir Penampang terima bantuan bakul makanan FAS
16:11 Nov 25, 2026  |  By SabahKini2
Mangsa banjir Penampang terima bantuan bakul makanan FAS

Beliau juga menghargai sumbangan dan kerjasama Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah serta Ja Hua Bakery yang turut membantu menjayakan usaha berkenaan.

PENAMPANG: Food Aid Sabah (FAS) menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di lebih 10 kampung di daerah ini baru-baru ini.

Misi bantuan kemanusiaan itu digerakkan susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk, terutama keluarga yang memerlukan bantuan keperluan asas.

Misi berkenaan diketuai Pengerusi FAS, Darren Liew yang turun padang menyampaikan bakul makanan kepada keluarga terjejas.

Darren turut merakamkan penghargaan kepada Food Aid Foundation atas sokongan berterusan dalam menjayakan misi kebajikan itu.

Beliau juga menghargai sumbangan dan kerjasama Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah serta Ja Hua Bakery yang turut membantu menjayakan usaha berkenaan.

Dalam perkembangan lain, FAS turut menyalurkan bantuan bakul makanan kepada mangsa kebakaran di Papar selepas menerima permohonan bantuan daripada pihak terlibat.

FAS turut menyeru lebih banyak syarikat korporat dan individu tampil menyumbang bagi memperluas usaha membantu golongan yang memerlukan.

Orang ramai atau pihak yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi talian 016-2200520 atau melayari laman Facebook rasmi Food Aid Sabah untuk maklumat lanjut.

Comment